Ekspo Perdagangan E-niaga Rentas Sempadan China 2022 Tawar Lebih Sejuta Produk

2022-06-02 12:00:54  CRI
Share with:


Ekspo Perdagangan E-niaga Rentas Sempadan China 2022 selama tiga hari dirasmikan di Fuzhou, provinsi Fujian, pada Rabu.

 

Ekspo kali ini adalah pameran peringkat negara yang pertama selepas berlakunya gelombang penularan wabak di Fujian baru-baru ini, selain merupakan pameran sektor e-niaga rentas sempadan terbesar di China.

 

Bertemakan "hubungkan semua aliran rentas sempadan, wujudkan tahap baharu e-niaga", penganjur menyediakan kawasan pameran bagi pembekal, wahana urus niaga dan peniaga perkhidmatan komprehensif di kawasan seluas 72 ribu meter persegi.

 

Ekspo ini dijangka akan mendorong perhubungan sumber berkualiti tinggi di dalam dan luar sempadan supaya memberi sumbangan positif terhadap rantai industri e-niaga rentas sempadan.

 

Difahamkan, sebanyak lebih 50 wahana e-niaga rentas sempadan global, 200 peniaga perkhidmatan e-niaga rentas sempadan yang terkenal dan lebih 2,000 pembekal perdagangan luar terlibat dalam ekspo kali ini.

 

Jumlah produk yang dipamerkan pula dianggarkan melebihi sejuta dengan merangkumi pelbagai jenis termasuk digital, barangan isi rumah, ibu dan bayi, kasut, pakaian serta aksesori kereta.

 

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, e-niaga rentas sempadan berkembang pesat di China.

 

Dari 2015 hingga kini, 132 zon rintis komprehensif e-niaga rentas sempadan telah ditubuhkan yang telah melibatkan 30 buah provinsi, wilayah dan bandar di seluruh negara.

 

Dasar pengawal import eksport e-niaga runcit rentas sempadan pula telah dilaksanakan di 31 buah provinsi, wilayah dan bandar seluruh China.


 

Data statistik dari pihak kastam mendedahkan bahawa import dan eksport e-niaga rentas sempadan telah meningkat hampir 10 kali ganda dalam tempoh 5 tahun di China.

 

Kini, lebih 30 ribu syarikat telah berdaftar diri di wahana perkhidmatan komprehensif dalam talian.

 

Pada waktu sama, syarikat-syarikat berkaitan turut aktif berusaha membentuk rantai pembekalan yang lebih fleksibel supaya memenuhi keperluan peribadi pengguna luar negara.