Pemulihan Ekonomi Global Jadi Keutamaan: Duta China

2022-06-03 13:24:09  CRI
Share with:

Masyarakat antarabangsa diseru untuk menjadikan pembangunan dan rangsangan pemulihan prestasi ekonomi dunia sebagai keutamaan.

Seruan itu dibuat Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun ketika berucap sempena United Nations Global Compact Leaders Summit, secara maya, pada Rabu.

Beliau berkata, senario wabak COVID-19 yang terus merebak di dunia menunjukkan betapa mendesaknya usaha untuk memperkasakan pengurangan kemiskinan, menjaga keselamatan makanan dan memacu ekonomi digital dan kemudahan infrastruktur.

"Perjanjian Global PBB harus menggalakkan syarikat menambah pelaburan dalam bidang utama yang disebutkan tadi, dan menumpukan sepenuh perhatian kepada masalah ketidakseimbangan pembangunan sesama negara.

"Pada masa sama, peranan perusahaan transnasional harus dioptimumkan sehingga dapat menyumbang kepada kestabilan dan kelancaran rantai bekalan sejagat serta rantai perindustrian,” kata Zhang.

Beliau turut mengulangi pendirian berprinsip kerajaan China yang sentiasa konsisten menolak amalan unilateralisme dan perlindungan perdagangan dalam sebarang bentuk.

"Kami komited menyumbang ke arah membentuk sistem perdagangan antarabangsa yang terbuka, adil serta tanpa diskriminasi,” tegas Zhang.

Beliau berjanji, China akan terus mewujudkan suasana perniagaan yang berorientasikan pasaran, berlandaskan undang-undang dan bersifat antarabangsa.

Di samping itu, usaha akan digandakan untuk memastikan projek-projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berjalan lancar menerusi pembinaan berkualiti tinggi sehingga menyediakan lebih banyak peluang kepada peniaga global.