AUKUS Digesa Elakkan Kerjasama Kapal Selam Nuklear

2022-06-08 12:57:11  CRI
Share with:

Amerika Syarikat, Britain dan Australia (AUKUS) digesa jangan menjalankan kerjasama dalam bidang kapal selam yang berkuasa nuklear sebelum pelbagai pihak mencapai konsensus.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang akhbar pada Selasa.

Menurut Zhao, ketiga-tiga negara tersebut perlu dengan bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan membendung percambahan senjata nuklear mereka, memberi sokongan kepada proses perbincangan antara kerajaan berhubung isu terbabit, dan bukannya meletakkan halangan.

“Dengan inisiatif pihak China, Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa(IAEA) buat kali ketiga sepakat memutuskan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu pemindahan bahan nuklear dan penyeliaannya dalam kerjasama AUKUS serta kesannya terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT). 

“Ini jelas mencerminkan masyarakat antarabangsa memberi perhatian serius terhadap isu pemindahan bahan nuklear yang membabitkan senjata dalam kerjasama kapal selam nuklear AUKUS,” katanya.  

Zhao menambah, China berulang kali menyifatkan kerjasama kapal selam nuklear AUKUS sebagai risiko percambahan nuklear teruk yang akan memberikan tamparan terhadap sistem kawalan senjata nuklear antarabangsa, memburukkan situasi perlumbaan senjata, selain menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.  

“China menyeru semua negara anggota menyokong dan secara aktif mengambil bahagian dalam perbincangan IAEA mengenai kerjasama kapal selam nuklear AUKUS untuk mempertahankan sistem kawalan nuklear antarabangsa yang berasaskan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) bagi melindungi keamanan dan keselamatan dunia,” kata Zhao.