China, Jepun Komited Perkasa Kerjasama

2022-06-08 12:55:40  CRI
Share with:

Anggota Biro Politik Pusat Parti Komunis China (PKC), yang juga Pengarah Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Pusat, Yang Jiechi telah menghubungi Setiausaha Agung Sekretariat Keselamatan Negara Jepun, Akiba Takeo menerusi telefon pada Selasa.

Yang Jiechi berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 pemulihan hubungan China-Jepun dan juga saat yang bermakna besar dalam sejarah perkembangan hubungan dua hala. 

“Pada bulan Oktober tahun lepas, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Fumio Kishida mencapai konsensus penting untuk mengeratkan hubungan bilateral yang selaras dengan perkembangan era baharu, dan sekali gus memberikan panduan untuk perkembangan hubungan dua hala. 

“Masalah dan cabaran tidak boleh diabaikan, memandangkan terwujudnya isu-isu yang pelbagai, baik yang lama mahupun yang baharu dalam hubungan China-Jepun pada masa ini.  

“Kedua-dua pihak perlu mengekalkan hala tujuan yang betul, memperkasa kerjasama sama menang, mempertimbangkan kepentingan dalam jangka masa panjang dan keseluruhan, memupuk rasa saling percaya dalam bidang keselamatan bagi melanjutkan hubungan China-Jepun yang stabil, kukuh dan berdaya tahan dalam tempoh 50 tahun akan datang selain bersama-sama melindungi keamanan dan kemakmuran serantau,” kata Yang.

Beliau juga menghuraikan pendirian dan prinsip China mengenai isu-isu berkaitan Taiwan, Hong Kong, gugusan pulau Diaoyu dan lain-lain.

Akiba Takeo pula berkata, pihaknya komited memperkasa kerjasama dengan China, mengendalikan perselisihan dengan baik, meningkatkan komunikasi mengenai isu hubungan dua hala yang sensitif dan isu antarabangsa yang hangat, dan bersama-sama memperkukuh hubungan Jepun-China yang bersifat membina dan stabil.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama.