China, Lima Negara Asia Tengah Komited Pelihara Keamanan Serantau

2022-06-09 14:55:09  CRI
Share with:

China dan lima negara Asia Tengah komited untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau dalam Mesyuarat Menteri Luar China + Asia Tengah(C + C5) ke-3 yang diadakan di Nur-Sultan, Kazakhstan pada Rabu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kazakhstan, Mukhtar Tleuberdi, dan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Turkmenistan, Rashid Meredov, Menteri Luar Kyrgyzstan, Jeenbek Kulubav, Menteri Pengangkutan Tajikistan, Azim Ibrohim, dan pemangku Menteri Luar Uzbekistan, Vladimir Norov.

Menteri Luar China Wang Yi dalam mesyuarat itu berkata, China bersedia untuk mengukuhkan perpaduan dan penyelarasan dengan negara-negara Asia Tengah dengan berpandukan semangat kejiranan yang baik, prinsip saling menghormati, saling menguntungkan dan sama menang, di samping bersama-sama membentuk komuniti berkongsi nasib China- Asia Tengah yang lebih padu.

Wang Yi turut menyarankan keenam-enam negara terbabit menyempurnakan mekanisme pertemuan ketua kerajaan negara C+C5 bagi memperkasa kerjasama dan koordinasi, membina enjin untuk memacu pemulihan ekonomi pasca COVID-19, memperdalam kerjasama dalam bidang keselamatan untuk mewujudkan keamanan serantau, memperluaskan saluran pertukaran sosiobudaya, selain menghimpunkan tenaga positif dalam tadbir urus global.

Wang menegaskan bahawa China tidak akan menghentikan langkah perkembangan dan pemulihannya dan tekadnya tidak akan bergoyah untuk bekerjasama dengan negara lain.

“China akan terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi global dan pembela kepada keadilan dan kesaksamaan antarabangsa.

“China yang berkembang dan makmur bukan sahaja satu gejala yang bertuah bagi dunia tetapi juga boleh membawa peluang baharu untuk pembangunan negara-negara Asia Tengah, “ kata Wang.

Para hadirin mesyuarat tersebut sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu mekanisme mesyuarat ketua kerajaan negara "C+C5" dan bersetuju untuk meneroka potensi mekanisme kerjasama antara enam negara terbabit, bagi membina Asia Tengah ke arah yang damai, persahabatan, saling membantu dan harmoni.

Mesyuarat tersebut turut meluluskan empat dokumen yang melibatkan kenyataan bersama mengenai mesyuarat menteri luar C+C5, pelan untuk pelaksanaan konsensus yang tercapai pada sidang kemuncak secara maya antara China dengan negara-negara Asia Tengah, inisiatif untuk memperdalam kesalinghubungan dan inisiatif kerjasama dalam bidang keselamatan data.