Xi Mahu China Kekalkan Kestabilan Pembangunan Ekonomi

2022-06-10 14:53:20  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menegaskan agar usaha harus diperkasakan untuk mengekalkan pembangunan ekonomi mampan dan kestabilan sosial secara keseluruhan, ketika dalam tinjauannya ke provinsi Sichuan baru-baru ini.

Beliau menuntut agar konsep pembangunan baharu dilaksanakan secara menyeluruh, tepat dan komprehensif, selain berkhidmat secara aktif serta menyepadukan ke dalam pola pembangunan baharu.

“Usaha-usaha tersebut perlu dilakukan untuk menyelaraskan pencegahan penularan wabak COVID-19 dengan pembangunan sosioekonomi,” tambah beliau.

Pada Rabu, Xi yang melawat beberapa tempat di bandar Meishan dan Yibin di provinsi di barat daya China itu turut mengajak supaya pembangunan dan pentadbiran di provinsi itu dipertingkat ke tahap yang baharu.

Menyentuh mengenai bencana alam dan geologi seperti banjir di beberapa kawasan di China mutakhir ini, Xi meminta pihak kerajaan tempatan dan pihak-pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan tindak balas kecemasan dengan lebih awal, serta meningkatkan keupayaan menangani bencana untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta rakyat.

Pada 1 Jun, gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda Ya'an di provinsi Sichuan dan susulan itu, Presiden Xi Jinping segera memberikan arahan penting yang menuntut kerajaan untuk berusaha gigih menjalankan operasi menyelamatkan bencana dan memulihkan pengeluran serta kehidupan normal dengan seawal mungkin.

Dalam rangka lawatannya ke Sichuan, Xi turut meninjau Sanjiangkou di bandar Yibin untuk mengetahui pemulihan dan perlindungan ekologi di kawasan perairan Sungai Yangtze serta keadaan pelaksanaan larangan penangkapan ikan di sungai tersebut.

Menurut beliau, melindungi ekologi di kawasan perairan Sungai Yangtze merupakan prasyarat untuk mendorong pembangunan ekonomi bermutu tinggi di Jalur Ekonomi Sungai Yangtze serta keperluan untuk menjaga tamadun China.