Urus Niaga Kredit Karbon Kekal Mantap di China

2022-06-15 15:11:27  CRI
Share with:

Jumlah kumulatif transaksi kredit karbon di negara China setakat ini mencecah 193 juta tan dengan nilainya melepasi 8.43 bilion yuan (RM12.84 bilion), lapor Bursa Persekitaran dan Tenaga Shanghai (SEEE).

Dimaklumkan, harga kredit karbon yang diniagakan secara domestik turun naik pada julat yang kecil, iaitu antara 55 yuan per tan hingga 60 yuan per tan, menyaksikan kenaikan 20 peratus berbanding 48 yuan per tan yang dicatatkan pada hari pertama pembukaan SEEE pada 16 Julai, 2021.

SEEE mengesahkan bahawa urus niaga karbon di dalam negeri secara keseluruhannya berada dalam keadaan yang sihat dan teratur, dengan harga tawaran yang mantap.

Platform transaksi kredit karbon kendalian SEEE itu berperanan penting untuk membantu syarikat mempercepat transformasi ke arah rendah karbon dan lebih mesra alam.

Ia merupakan satu pendekatan untuk mengawal dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan menggunakan mekanisme pasaran, serta berfungsi sebagai alat dasar untuk memastikan sasaran puncak karbon menjelang 2030 dan neutral karbon menjelang 2060 dicapai.

Selain itu, budaya komuniti rendah karbon dan amalan gaya hidup lestari turut berjaya disemai dalam masyarakat menyusuli tarikh 15 Jun diwartakan sebagai Hari Karbon Rendah Nasional pada 2013.

Dalam perkembangan lain, sistem pemantauan karbon yang meliputi sektor utama serta bandar dan kawasan tertentu semakin lengkap.

Ia sekali gus memberi makna besar dalam meneliti dan mengukur tahap pelepasan karbon dioksida serta menyokong operasi platform transaksi kredit karbon.

Menurut rekod terkini Pusat Pemantauan Alam Sekitar Kebangsaan China (CNEMC), lebih 140 stesen pemantauan siap dibina di 13 bandar termasuk di Shanghai dan Shenzhen.