Xinjiang Miliki Gelung Rel Padang Pasir Pertama Dunia

2022-06-16 13:34:59  cri
Share with:

Rangkaian rel di wilayah Xinjiang, China terus disempurnakan dengan beroperasinya landasan kereta api Hotan-Ruoqiang, hari ini.

Bersambung dengan landasan sedia ada, ia sekali gus menjadi gelung rel padang pasir pertama di dunia dengan panjang sehingga 2,712 kilometer yang melingkari padang pasir Taklimakan.

Landasan kereta api Hotan-Ruoqiang sepanjang 825 kilometer dengan kelajuan operasi 120 kilometer sejam itu mempunyai 22 buah stesen dan 11 daripadanya menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang.

Difahamkan, projek pembinaan landasan tersebut dimulakan pada Disember 2018 dan ia turut mengharungi pelbagai kesulitan akibat keadaan geografi di padang pasir.

Demi mengatasi masalah gumuk pasir yang bergerak, lima buah jambatan khusus telah dibina bagi mengelakkan landasan terhakis pasir.

Di samping itu, usaha rawatan pasir juga diutamakan sepanjang proses pembinaannya, manakala sebanyak 13 juta batang pokok telah ditanam sebagai benteng hijau kepada landasan itu.