Guangxi Giat Bangunkan Laluan Antarabangsa Sasar ASEAN

2022-06-17 15:31:15  CRI
Share with:

Ekonomi berasaskan pelabuhan antara aspek penting ke arah melakar lembaran baharu dalam pembangunan Laluan Sutera Maritim.

Demikian ditekankan Presiden China, Xi Jinping semasa meninjau Dermaga Awam Pelabuhan Tieshan di Beihai, wilayah Guangxi pada 19 April 2017.

Beliau mengarahkan supaya Pelabuhan Teluk Beibu dibina dengan kemudahan, teknologi serta sistem pengurusan dan perkhidmatan yang paling cekap, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). 

Berpandukan arahan Presiden Xi, Guangxi giat merebut peluang untuk menyertai usaha sama membina laluan darat-laut baharu di barat China secara berkualiti tinggi.

Pada September 2017, sebuah ‘nadi baharu’ yang melintasi bahagian barat China turut menarik perhatian dunia, iaitu Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu (ILSTC).

Susulan itu, bandar Chongqing dan provinsi Guizhou serta beberapa wilayah lain berjaya dihubungkan dengan negara-negara ASEAN melalui pintu sempadan dan pelabuhan di Guangxi.

Malah, ia juga disambungkan dengan rantau Asia Tengah dan Eropah menerusi perkhidmatan tren kargo China-Eropah, sekali gus membentuk gelung BRI yang lengkap. 

Setakat ini, jumlah provinsi yang menikmati perkhidmatan pengangkutan rel-laut menerusi laluan darat-laut di bahagian barat telah bertambah kepada 14 buah berbanding hanya empat pada 2017.

Bilangan operasi tren berkenaan turut meningkat daripada 178 kepada 6,117, iaitu menokok sebanyak 142 peratus secara purata setiap tahun.