China Alu-alukan Syarikat Asing Perkasa R&D

2022-06-17 12:44:09  cri
Share with:

Majoriti syarikat dari Kesatuan Eropah (EU) bukan sahaja memperoleh manfaat daripada inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China, malah turut memandang negara Tembok Besar sebagai pangkalan R&D yang berpotensi.

Demikian menurut satu tinjauan pendapat terhadap syarikat dari EU yang berniaga di China baru-baru ini.

Mengulas hasil tinjauan itu, jurucakap Kementerian Perdagangan China, Shu Jueting berkata, inovasi merupakan komponen penting dalam konsep pembangunan baharu dan juga pemacu pertumbuhan ekonomi China secara berkualiti tinggi.

Menurut beliau, Indeks Inovasi Global (GII) China meningkat kepada tangga ke-12 pada tahun lepas daripada ke-34 pada 2012 hasil daripada pelaksanaan strategi pembangunan yang berorientasikan inovasi.

Shu turut memberi penghargaan kepada sumbangan syarikat negara Eropah dalam hal tersebut, dan menganggap kerjasama saling untung berjaya diwujudkan menerusi penglibatan mereka dalam keterbukaan serta pembangunan inovatif di negara ini.

“China komited terus memperluas keterbukaan pintu pada tahap tinggi, di samping memperkasa usaha perlindungan harta intelek dan menambah baik iklim perniagaan serta inovasi,” katanya dalam sesi taklimat pada Khamis.

Tambah Shu, China mengalu-alukan syarikat asing termasuk dari negara EU datang melabur dan berniaga, mempertingkat peruntukan dalam R&D, termasuk menubuhkan pusat R&D untuk bersama-sama menikmati limpahan manfaat pembangunan.