Jalan Pembangunan Hak Asasi Sejajar Keadaan Negara China

2022-06-22 13:37:33  CRI
Share with:

China telah menempuh satu jalan pembangunan hak asasi manusia yang seiring dengan arus zaman serta sejajar dengan keadaan negara sendiri.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai pencapaian has asasi yang diperoleh negara Tembok Besar ini pada taklimat harian, Selasa.

Wang berkata, Parti Komunis China (PKC) sejak penubuhannya menyatukan dan memimpin rakyat untuk memperjuangkan, menghormati, menjamin dan membangunkan hak asasi.

"Pendapatan per kapita kini naik kepada AS$12,000 daripada hanya puluhan dolar AS yang dicatat sewaktu negara China baharu diasaskan pada 1949.

"Selain itu, jangka hayat rakyat China adalah purata 77.3 tahun berbanding 35 tahun, manakala kadar kematian bayi menyusut kepada 5.4 per seribu daripada 200 per seribu,” jelas Wang.

Menurut beliau, keadaan hak asasi sesebuah negara pada asasnya diukur dengan menggunakan petunjuk utama seperti sama ada kepentingan rakyat dijamin dan mereka dapat menikmati rasa kepuasan, kebahagiaan dan keselamatan yang semakin meningkat.

Dapatan tinjauan oleh Universiti Harvard yang menjangkau lebih sedekad menunjukkan, kadar kepuasan rakyat China terhadap PKC dan kerajaan kekal melebihi 90 peratus setiap tahun.

Menurut laporan syarikat konsultasi komunikasi antarabangsa, Edelman, tahap kepercayaan rakyat China terhadap kerajaan mencecah 91 peratus pada 2021, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam tempoh sepuluh tahun lalu, dan menduduki tempat pertama di dunia.