BRICS Harus Berani Bertindak dan Galas Tanggungjawab: Xi

2022-06-23 22:22:36  CRI
Share with:

Negara-negara BRICS diharap agar berani bertindak secara bertanggungjawab sehingga menyuntik elemen positif, mantap dan konstruktif kepada dunia.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak BRICS ke-14 secara maya di Beijing malam ini.

Beliau menyatakan, mekanisme BRICS membabitkan lima ekonomi utama sedang berkembang di dunia, iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan menunjukkan daya tahan dan dinamika, dengan hasil kerjasama yang cukup memberangsangkan, biarpun wabak COVID-19 belum reda dan landskap ekonomi dunia tidak menentu.

Untuk itu, Xi menyeru supaya negara terbabit bersuara lantang demi kesaksamaan dan keadilan, menggalakkan masyarakat antarabangsa mengamalkan multilateralisme jitu, mendukung penuh sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta ketertiban antarabangsa berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, mentaliti Perang Dingin dan konfrontasi secara berkumpulan mesti ditolak, manakala sekatan unilateral dan penyalahgunaan sekatan juga perlu dielakkan.

Pada pandangan beliau, ‘keluarga besar’ bervisi komuniti berkongsi nasib sesama insan mampu mengatasi ‘bulatan kecil’ hegemoni.

Presiden itu berharap agar keyakinan untuk menghapuskan wabak ditingkatkan lagi, sementara benteng pencegah penularan wabak terus diperkukuh, dengan menegakkan prinsip rakyat didahulukan dan nyawa diutamakan.

Selain itu, usaha sama memerangi wabak di peringkat global perlu terus diperkasa demi kesihatan seluruh umat manusia.

Xi ingin melihat sinergi dibentuk antara negara terbabit ke arah rejuvenasi ekonomi.

Antara cadangan yang diketengahkan beliau adalah mengukuhkan koordinasi dari segi dasar makro, memastikan keselamatan dan kelancaran rantai perindustrian dan rantai bekalan, membina ekonomi dunia bersifat terbuka, mencegah dan menyelesaikan risiko dan cabaran utama dalam pembangunan dunia, serta mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan. 

Xi turut berkata, usaha perlu diperkasakan untuk menggalakkan pembangunan mampan, menjunjung nilai murni berpaksikan rakyat, meningkatkan peruntukan dalam bidang seperti pengurangan kemiskinan, barang makanan, pendidikan dan perubatan.

Dalam pada itu, beliau menekankan peri pentingnya memastikan agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dicapai sepenuhnya, ke arah pembangunan global yang lebih mantap, hijau dan sihat.