Xi Seru Pembinaan Perkongsian BRICS Berkualiti Tinggi

2022-06-24 13:39:58  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyeru negara-negara BRICS untuk membina perkongsian BRICS berkualiti tinggi yang lebih komprehensif, erat, praktikal dan inklusif.

Untuk itu, beliau berkata negara-negara terbabit harus bersama-sama menyingkap kembali perjalanan permulaan menuju ke arah penubuhan BRICS, sekali gus memulakan perjalanan baharu kerjasama tersebut.

Xi berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak BRICS ke-14 secara maya pada Khamis.

Beliau turut meminta negara-negara BRICS saling menyokong satu sama lain dalam isu berkaitan kepentingan teras masing-masing, mengamalkan multilateralisme sebenar, menjaga keadilan, kesaksamaan dan perpaduan serta menolak hegemoni, pembulian dan perpecahan.

“Tatkala dunia bergelut dengan penularan pandemik dan krisis Ukraine telah membawa impak negatif, prospek pembangunan menjadi pudar bagi pelbagai negara, khususnya negara-negara pasaran baharu dan negara membangun.

“China bersedia bersama dengan negara-negara terbabit menggalakkan Inisiatif Pembangunan Sejagat, mempercepat agenda PBB 2030 mengenai Matlamat Pembangunan Mampan, membina komuniti pembangunan sejagat untuk mewujudkan pembangunan global yang mantap, hijau dan sihat,” kata Xi.

Beliau turut mengutarakan agar kelima-lima negara menambah baik tadbir urus sains dan teknologi global serta membolehkan lebih ramai dapat mengakses selain manfaatkan hasil kemajuan sains dan teknologi.

“Negara-negara BRICS perlu menegakkan sikap keterbukaan dan keterangkuman serta menarik keanggotaan lebih banyak rakan yang mempunyai aspirasi yang sama, bagi meningkatkan daya perwakilan dan prestasi pertubuhan ini di peringkat antarabangsa,” ujar Xi.

Sidang Kemuncak BRICS ke-14 turut diserikan dengan kehadiran Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, Presiden Brasil, Jair Messias Bolsonaro, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri India, Narendra Damodardas Modi.

Pemimpin keempat-empat negara dalam sidang tersebut komited berusaha bersama untuk menangani pelbagai cabaran, memperkasa kerjasama BRICS bagi memainkan peranan lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, kelima-lima negara terbabit juga mencapai konsensus dalam banyak bidang selain turut meluluskan Deklarasi Beijing Sidang Kemuncak BRICS ke-14.