Xi Tegaskan Semangat Berdikari dalam Bidang Sains dan Teknologi

2022-06-29 15:14:32  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menegaskan peri pentingnya untuk  menyemarakkan semangat berdikari dalam bidang sains dan teknologi.

Demikian arahannya yang diberikan semasa melakukan tinjauan di Wuhan, ibu kota provinsi Hubei pada Selasa.

“Kita perlu mengamalkan konsep perkembangan baharu secara komprehensif dan tepat, melaksanakan strategi pembangunan berteraskan inovasi, membela nasib rakyat dalam bidang sains dan teknologi agar melakar kemajuan yang lebih besar.

“Selain itu, kita harus berusaha memperkasa pembangunan negara ke arah lebih bebas, berdikari dan selamat selain lebih kompetitif dalam persaingan antarabangsa,” kata beliau.

Jadual tinjauan Presiden Xi juga melibatkan Wuhan Huagong Laser Engineering Co., Ltd dan taman perumahan Zhiyuan di Zon Teknologi Tinggi Donghu, bandar Wuhan.

Semasa membuat tinjauan di taman perumahan Zhiyuan, Presiden Xi berkata, China tidak berganjak dari melaksanakan garis panduan  pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 yang sedia ada.

“Sejak mencapai kejayaan dalam usaha membendung penularan wabak pada tahun 2020, bandar Wuhan berjaya mengawal penularan wabak tersebut untuk beberapa kali lagi dalam dua tahun kebelakangan ini. Ini turut membuktikan garis panduan pencegahan dan kawalan wabak di negara ini tepat dan berkesan,” kata Xi.

Xi menegaskan komuniti perumahan berperanan penting dalam usaha mencegah dan mengawal pandemik.

“Kita perlu mempertahankan prinsip mengutamakan kepentingan rakyat dan keselamatan nyawa, mengekalkan pelaksanaan dasar ‘dinamik sifar COVID-19’, dan menyediakan jaminan sebesar mungkin bagi melindungi keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat, khususnya golongan warga emas dan kanak-kanak,” kata beliau.

Xi turut menambah, kerajaan China berkeyakinan dapat menyelaraskan dengan baik usaha melawan wabak dengan perkembangan sosioekonomi, dan bersemangat gigih memperjuangkan pertumbuhan ekonomi  pada paras  yang agak baik tahun ini.