Dasar 'Satu Negara, Dua Sistem' Tidak Berubah: Xi

2022-07-01 15:26:43  CRI
Share with:

 Presiden China, Xi Jinping menyifatkan kepulangan Hong Kong (HK) ke tanah air China 25 tahun lalu sebagai membuka halaman baharu bagi wilayah itu.

Jelas beliau, dengan kerjasama penduduk tempatan dan sokongan kerajaan pusat, pelaksanaan dasar 'satu negara, dua sistem' di HK terbukti berjaya dan turut diiktiraf umum.

Xi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Kepulangan HK ke China dan juga Majlis Pelantikan Jawatan Kerajaan Ke-6 Wilayah Pentadbiran Khas HK (HKSAR) di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, sistem yang merekodkan sejarah baharu itu bertujuan untuk memelihara kedaulatan, keselamatan, kepentingan pembangunan negara, sekali gus menjamin kemakmuran serta kestabilan HK dan Makau dalam jangka panjang.

"Segala usaha kerajaan pusat adalah untuk kepentingan negara dan membawa manfaat kepada HK dan  Makau, serta penduduk tempatan," ujar Xi.

Beliau turut mengimbas kembali ucapannya pada acara sama lima tahun lalu bahawa dua panduan harus dipegang dalam mengamalkan dasar 'satu negara, dua sistem' , iaitu dasar itu tidak akan berubah dan dilaksanakan dengan tepat dan komprehensif.

Tegas Xi, dasar itu telah terbukti berjaya dan bersesuaian dengan kepentingan asas negara dan bangsa China, selain turut mendapat sokongan meluas penduduk HK dan Makau serta pujian masyarakat antarabangsa.

Justeru katanya, tiada alasan untuk mengubah dasar sebaik itu dan beliau menyatakan bahawa ia mesti dilakukan dalam jangka panjang.

Xi turut memberitahu bahawa dasar 'patriot mentadbir HK' perlu diteruskan, sementara kedudukan dan keutamaan HK yang istimewa harus dikekalkan.

Tambah Xi, cita-cita terbesar penduduk HK adalah untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

Maka, beliau berkata bahawa penyempurnaan sistem pentabiran, daya dan keefisienan takbir urus kerajaan tempatan amat diperlukan.

Xi juga yakin HK mampu memberikan sumbangan lebih besar dalam pembangunan negara dan kebangkitan nusa dan bangsa China.

Xi dan isterinya, Peng Liyuan tiba di Stesen Kereta Api Kowloon Barat HK, semalam.

Xi turut menyampaikan ucapan ketika upacara sambutan di stesen kereta api tersebut selain berkesempatan bersalaman dan berkongsi memori kepada penduduk tempatan serta menyatakan keyakinan kepada pembangunan HK pada masa hadapan.

Beliau juga mengambil peluang untuk mengadakan tinjauan di Taman Sains HK, iaitu pangkalan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan perusahaan terbesar di HK pada petang semalam.