Ketua Pelancongan Ganzi Jadi ‘Kesatria’ Promosi Kampung

2022-07-07 15:10:31  CRI
Share with:

Mutakhir ini, siri video yang merakamkan seorang lelaki berwatakkan ‘kesatria’ menjadi sensasi internet hingga mendapat lebih 180 juta tontonan dan dikongsikan semula oleh para warganet di seluruh platform media sosial di China.

Umum mengetahui bahawa China memiliki banyak genre filem seni mempertahankan diri. Kenapa watak ‘kesatria’ itu tiba-tiba menjadi popular di media sosial?

Difahamkan, ia adalah berikutan ‘kesatria’ dalam video berkenaan bukanlah pelakon profesional, tetapi merupakan seorang pegawai kanan dari provinsi Sichuan, barat daya China.

Pegawai bernama Liu Hong, 50, adalah ketua pengarah Biro Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Daerah Autonomi Tibet Ganzi.

Ganzi dikenali sebagai komponen penting bagi Koridor Asia Selatan Jalan Sutera Purba dan Laluan Teh-Kuda Purba yang menghubungkan benua Eurasia dengan sejarah selama ribuan tahun.

Liu pula merupakan seorang anak beretnik Tibet yang lahir dan membesar di situ.

Pada Mac 2021, Liu memulakan penggambaran video pendek untuk memperkenalkan pemandangan kampung halamannya sebagai usaha memacu sektor pelancongan dan kebudayaan tempatan.

Untuk rekod, bilangan peminat akaun media sosial Liu kini mencecah 1.449 juta orang, dan jumlahnya terus bertambah setiap hari.

Liu membuat penggambaran video pendek tersebut dengan mengisi masa lapang atau cuti hujung minggu. 

Pada waktu malam, beliau akan meluangkan masa membaca komen yang ditinggalkan peminat di platform video pendek dan turut memberi respons.

Platform video pendek Liu telah menjadi saluran interaktif utama bagi kerajaan tempatan dengan penduduk serta para pengunjung yang datang ke situ.

Lebih 100 kawasan peranginan yang mempesona dipromosi menerusi platform media sosial Liu, selain menawarkan tips dan panduan melancong ke Ganzi kepada jutaan pelawat.