BRICS: China Sedia Perkasa Kesalinghubungan, Galak Ekonomi Digital

2022-07-07 12:58:52  cri
Share with:

China bersedia bersinergi dengan pelbagai pihak bagi mempertingkat tahap kesalinghubungan sesama negara BRICS, di samping menggalakkan perkembangan ekonomi digital.

Demikian kenyataan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dalam Mesyuarat Menteri Komunikasi BRICS ke-8 yang berlangsung secara maya, pada Rabu.

Menurut MIIT, China komited bekerjasama dengan negara BRICS lain dalam pembangunan infrastruktur maklumat model baharu, pembinaan kabel di laut dan darat, penyelidikan mengenai teknologi komunikasi generasi kelima dan keenam (5G/6G), serta teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha sama bagi meningkatkan tahap pendigitalan, perangkaian dan kepintaran teknologi dalam industri tradisional, memacu pembangunan sektor pembuatan ke arah yang lebih berkualiti dan mesra alam, selain membina iklim pembangunan digital yang terbuka, saksama, adil serta tanpa diskriminasi.

Untuk rekod, kadar sumbangan negara-negara BRICS terhadap pertumbuhan ekonomi global kini melepasi 50 peratus.

Pada 2021, kadar pertumbuhan ekonomi BRICS dicatatkan pada 7.6 peratus iaitu jauh lebih tinggi daripada purata dunia.