Usaha Kawalan Perosak di Ladang Padi China

2022-07-11 14:09:51  CRI
Share with:

Kerja-kerja penuaian hasil padi untuk pusingan pertama musim panas dan penanaman padi sekali lagi sudah selesai di China ketika ini.

Kini, kerja musim menanam padi sudah memasuki fasa penjagaan iaitu pembajaan dan pengawalan perosak untuk menjamin tuaian yang banyak pada musim gugur kelak.

Penggunaan dron bagi tugas menyembur racun merupakan kaedah utama untuk menghapuskan penyakit pada padi serta serangan perosak. 

Dengan menggunakan sebuah dron sahaja, penanam boleh melakukan semburan untuk kira-kira 17 hektar sawah sejam berbanding hanya 0.1 hektar sejam dengan cara tradisional yang menggunakan tenaga manusia.

Lampu pemusnah perosak berkuasa solar juga digunakan untuk mengawal perosak. Lampu hijau dan mesra alam yang tanpa menggunakan elektrik ini dapat mengumpan serta menghapuskan perosak di kawasan seluas 2 hingga 3.3 hektar.

Penanaman pokok vetiveria zizanioides di tepi ladang juga merupakan cara yang berkesan untuk mengawal perosak.

Selain itu, sistem amaran pengesan perosak jarak jauh yang kawasan liputannya seluas puluhan ribu hektar mula dibentuk di provinsi Heilongjiang, timur laut China pada tahun ini. 

Dengan wujudnya sistem tersebut, usaha mengumpan, menghapus, mengumpul perosak dapat dijalankan secara automatik. 

Data-data berkenaan juga akan dimuat naik ke platform pertanian pintar untuk dianalisis.

Langkah ini kondusif bagi meringankan beban kerja dan meningkatkan kecekapan para penanam.