Beijing Bidas Konsul AS Putar Belit Fakta

2022-07-13 13:15:06  CRI
Share with:

Beijing membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap dasar China berkaitan Hong Kong oleh Konsul Besar Amerika Syarikat (AS) di wilayah itu, Hanscom Smith.

Hanscom dilaporkan mengkritik undang-undang keselamatan negara melibatkan Hong Kong dalam ucapan perpisahannya pada Isnin, dengan mengatakan bahawa undang-undang berkenaan menjejaskan kebebasan politik dan sosial serta menggugat kedudukan Hong Kong sebagai hab perkhidmatan global.

Untuk itu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata sejak undang-undang tersebut berkuat kuasa, keselamatan negara terjamin manakala masyarakat kembali menjalani kehidupan normal.

"Kedaulatan undang-undang dan keadilan ditegakkan, serta hak sah penduduk tempatan dan warga asing di wilayah itu dijaga dengan lebih baik dalam persekitaran yang lebih selamat.

"Dasar 'satu negara, dua sistem' dan 'orang Hong Kong mentadbir Hong Kong' serta tahap autonomi yang tinggi, semuanya berada pada landasan yang betul dalam pelaksanaannya,” kata Wang.

Beliau turut memetik dapatan kaji selidik sebagai bukti kukuh untuk menyokong kenyataannya.

"Tinjauan mendapati, 76.2 peratus penduduk Hong Kong berpendapat kebebasan dan hak mereka yang ditetapkan dalam Undang-undang Asas tidak terjejas selepas penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara, manakala 63 peratus berasa persekitaran perniagaan di Hong Kong bertambah baik susulan undang-undang itu,” tambah Wang.