Xi: Penubuhan WIC Penting, Mampu Perdalam Kerjasama Dunia

2022-07-13 13:54:30  CRI
Share with:

Penubuhan Organisasi Antarabangsa Persidangan Internet Dunia (WIC) disifatkan sebagai langkah penting dalam arus pembangunan zaman teknologi maklumat ketika ini.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan tahniahnya ke atas penubuhan WIC menerusi kiriman surat, pada Selasa.

Menurut beliau, penubuhan WIC juga mampu memperdalam kerjasama antarabangsa yang membabitkan ruang siber.

Xi turut berharap agar WIC terus menggalakkan perundingan bersama serta perkongsian melalui dialog dan kerjasama substantif sekali gus menyumbang kepada perkembangan serta tadbir urus internet global.

Beliau menekankan bahawa ruang siber berkait rapat dengan nasib manusia dan masa depannya harus dicipta secara bersama oleh semua negara di dunia.

“China bersedia bersama-sama masyarakat antarabangsa ke arah membina ruang siber yang lebih adil, inklusif, selamat, mantap dan dinamik demi manfaat rakyat seluruh dunia,” kata Xi.

Difahamkan, WIC yang beribu pejabat di Beijing menyasarkan penubuhan wahana diskusi, bangun dan kongsi bersama dalam ruang siber global.

Ia secara tidak langsung mendorong masyarakat antarabangsa ke arus zaman pendigitalan, perangkaian, intelektualisasi, menghadapi cabaran keselamatan dan berusaha ke arah kesejahteraan, serta membentuk komuniti berkongsi nasib ruang siber.

WIC yang terdiri daripada persidangan, majlis, sekretariat, jawatankuasa kaunseling kanan dan suruhanjaya profesional dianggotai agensi antarabangsa, perusahaan dan institusi serta pakar dan sarjana dalam bidang internet.

Ia akan menyediakan platform pertukaran dan kerjasama mendalam, di samping menyediakan perkhidmatan dan sokongan dalam perkembangan sendiri, peningkatan kemampuan serta pameran kepada anggotanya.

Sidang Kemuncak Wuzhen WIC akan diubahsuai menjadi sidang tahunan pertubuhan antarabangsa yang merangkumi forum dan seminar serantau serta topik perbincangan khas.

Turut dimaklumkan, sebanyak lebih seratus agensi, syarikat dan individu dari hampir 20 negara di enam benua telah menganggotai WIC.