Lagi Beras Sumbangan China Tiba Sri Lanka

2022-07-15 13:40:50  CRI
Share with:

 


Kementerian Pendidikan Sri Lanka menerima kumpulan kedua bahan bantuan kemanusiaan kecemasan berbentuk makanan daripada China menerusi Kedutaan Besar China di negara itu, pada Khamis.

 

Difahamkan, China akan menyumbang beras seberat 10 ribu tan untuk menyokong program makanan pelajar di Sri Lanka yang merangkumi sekitar 1.1 juta pelajar dari kira-kira 7,900 buah sekolah di sembilan buah provinsi di negara itu.

 

Duta Besar China, Qi Zhenhong pada majlis penyerahan bantuan berharap ia bukan sahaja dapat mengisi perut para pelajar di Sri Lanka, malah juga mencerminkan kemesraan dan sifat ambil berat rakyat China kepada mereka.

 

Setiausaha pertama Kementerian Pendidikan Sri Lanka, Ranasinghe pula menyatakan program makanan pelajar adalah penting bagi memperbaiki persekitaran pembelajaran di negara itu.

 

Menurut beliau, ekoran kemerosotan ekonomi buat masa sekarang, program tersebut menghadapi kesukaran di kawasan desa.

 

Justeru, Ranasinghe yang turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut juga menyifatkan pemberian bahan makanan dari kerajaan China sebagai sangat bermakna pada waktu ini.

 

Dalam tempoh April hingga Mei tahun ini, China mengumumkan akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kecemasan termasuk ubat-ubatan, petrol dan beras yang bernilai RMB500 juta (RM329 juta) kepada Sri Lanka.

 

Untuk rekod, ia merupakan bantuan tanpa bayaran balik yang terbesar diterima Sri Lanka sejak tercetusnya krisis ekonomi dan kehidupan rakyat di negara itu.