Integrasi Budaya-Pelancongan, Tumpuan Agenda Xi di Turpan

2022-07-16 16:26:24  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping yang membuat tinjauan di Turpan, wilayah Xinjiang pada Khamis, telah menjejak kaki ke Lembah Anggur untuk mengetahui perkembangan industri penanaman anggur serta pembangunan bersepadu budaya dan pelancongan tempatan.

Terletak di sebelah barat Gunung Api di Turpan, Lembah Anggur dikurniakan iklim dan tanah yang sempurna untuk penanaman buah anggur, iaitu dengan perbezaan suhu antara siang dan malam yang besar, durasi pancaran sinar matahari yang panjang, dan air salji alpine menjadi sumber pengairan.

Kini, industri buah manis itu sedang menyerlahkan potensinya yang cukup besar. Berkat kelebihan dari segi pengangkutan dan budaya, Turpan berusaha memajukan sektor pelancongan menerusi langkah seperti membina dewan pameran bertemakan anggur dan adat resam tradisional, serta pasar buah-buahan dan estet percutian.

Hasil usaha tersebut, industri anggur bukan hanya membawa pulangan lumayan kepada kaum tani tempatan, malah menjadi model pengintegrasian budaya dan pelancongan.

Selepas mengunjungi Lembah Anggur, Presiden Xi kemudian melawat Kampung Xincheng Ximen, daerah Gaochang untuk melihat sendiri pembangunan kawasan desa di sana. 

Xincheng Ximen telah menjadi model yang memajukan pertanian bersandarkan sains dan teknologi dengan memanfaatkan sumber istimewa tempatan.

Kampung itu didiami 3,790 orang daripada 550 buah keluarga, antaranya 3,702 merupakan penduduk etnik Uygur. 

Seiring dengan pembukaan lebuh raya dan penumpuan perusahaan logistik, jualan anggur segar di Turpan terus meningkat pada setiap tahun.

Kampung Xincheng Ximen menggunakan 85 peratus daripada tanah ladang yang sedia ada untuk menanam anggur, di samping mengusahakan pemprosesan buah-buahan kering seperti kismis, tembikai Hami kering, kurma merah dan walnut dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3,000 tan.

Dalam tempoh lawatan ke Turpan, Presiden Xi turut meninjau Jiaohe Ruins yang diiktiraf sebagai warisan budaya dunia untuk mengetahui tentang perlindungan dan penggunaan warisan budaya. 

Xi menyatakan Jiaohe merupakan laluan utama di Jalan Sutera purba dan menjadi saksi kepada kegemilangan tamadun China berusia 5,000 tahun, maka memiliki nilai sejarah yang penting. 

Beliau turut menekankan perlunya memperkasa perlindungan, penggunaan dan pewarisan legasi budaya, terus memperluas pengaruh budaya China di persada dunia, dan mengukuhkan rasa bangga terhadap nusa dan bangsa yang tersemat di sanubari.