Hasil Pemulihgunaan Tanah, Tumpuan Tinjauan Xi di Shihezi
Presiden Xi Jinping mengadakan tinjauan di Shihezi, wilayah Xinjiang pada petang Rabu untuk mengetahui usaha reklamasi tanah, perkembangan pertanian bercirikan setempat dan pembangunan bandar tersebut.
Shihezi, sebuah bandar yang ditubuhkan susulan usaha reklamasi oleh tentera.
Pemulihgunaan tanah dan kawalan sempadan dijalankan secara besar-besaran oleh kerajaan pusat bermula zaman Dinasti Han Barat iaitu lebih 2,000 tahun lalu, dan ia diteruskan pada zaman seterusnya.
Penubuhan Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang (XPCC) dianggap pendekatan bersifat strategik yang selaras dengan keadaan negara dan juga realiti Xinjiang.
Terletak di antara banjaran Tianshan dan lembangan Junggar, Shihezi merupakan sebuah kampung kecil sahaja pada zaman dahulu dengan iklimnya yang kering.
Melalui usaha gigih beberapa generasi, XPCC mencipta keajaiban di tanah tandus sehingga menubuhkan sebuah bandar di Shihezi.
Pada tahun 2000, Shihezi dipilih sebagai bandar teladan kepada penambahbaikan persekitaran kehidupan manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada tahun 2002 pula, Shihezi bergelar sebagai bandar taman peringkat negara.
Menurut Presiden Xi, “mencintai tanah air, berbakti dengan seluruh jiwa raga, bekerja keras serta proaktif melakukan perintisan dan mengorak ke hadapan” merupakan konotasi utama semangat XPCC.
Xi juga turun padang untuk melihat sendiri penanaman kapas di pekan Huayuan, dan berbual-bual dengan pengebun tempatan.
Kata beliau, dengan tahap mekanisasi yang tinggi, pengeluaran pertanian yang berskala besar serta syarat kondusif dalam pengurusan perindustrian, XPCC mempunyai kelebihan ketara dalam penghasilan bijirin, kapas, minyak, sayur dan buah. Justeru, XPCC perlu memainkan peranan lebih besar dalam menjamin keselamatan makanan negara dan bekalan produk pertanian utama.