China Sumbang AS$50j kepada Tabung Bank Dunia

2022-07-17 13:03:38  CRI
Share with:

China mengumumkan peruntukan sebanyak AS$50 juta kepada tabung pencegahan, kesiagaan dan tindak balas pandemik yang baru diasaskan Bank Dunia.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kewangan Liu Kun ketika berucap pada mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank pusat Kumpulan 20 (G20) secara hibrid di Bali, Indonesia, bermula Jumaat hingga Sabtu.

Liu menyifatkan peruntukan itu sebagai langkah proaktif untuk memantapkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global disyorkan Presiden Xi Jinping.

Beliau berkata, G20 harus menyelaraskan tindakan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pembangunan sosioekonomi, mengekalkan keselamatan dan kestabilan rantai perindustrian dan bekalan global, dan mencegah kesan limpahan negatif yang serius daripada pelarasan dasar di beberapa negara.

Liu turut menekankan perlunya memupuk hubungan rakan kongsi demi pembangunan global serta menggerakkan kerjasama secara menyeluruh dalam bidang seperti pengurangan kemiskinan, keselamatan makanan dan tenaga, dan perlindungan kesihatan manusia.