Sukan Asia ke-19 Hangzhou Ditunda ke September 2023

2022-07-20 11:13:08  CRI
Share with:

Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 25 September ini, akan ditunda ke tarikh baharu iaitu dari 23 September hingga 8 Oktober 2023.


Namun nama sukan itu dikekalkan, iaitu Sukan Asia Ke-19 2022 Hangzhou.


Untuk rekod, penundaan temasya tersebut adalah susulan peningkatan kes COVID-19 di China seperti yang diumumkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) pada Mei.


Menurut kenyataan OCA pada Selasa, sejak dua bulan lepas, pasukan petugas khas telah mengadakan pelbagai perbincangan dengan Jawatankuasa Olimpik China, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou (HAGOC) dan pihak berkepentingan lain untuk mencari penyelesaian bagi penganjuran temasya itu agar tidak mempunyai konflik dengan acara sukan antarabangsa lain.


OCA menzahirkan penghargaan kepada HAGOC, Jawatankuasa Olimpik China serta pihak kerajaan di semua peringkat atas usaha masing-masing dalam melakukan persiapan penganjuran temasya sukan itu semasa pandemik dan memastikan ia dapat berlangsung pada tahun depan.


Sejak bandar Hangzhou memperolehi hak penganjuran Sukan Asia ke-19 2022, provinsi Zhejiang giat memperkasakan persiapan sukan itu, di samping mengatasi pengaruh negatif wabak COVID-19.


Atas sokongan bersama OCA dan Jawatankuasa Olimpik China,  bandar itu dipercayai akan terus membuat persiapan dengan baik dan menjayakan temasya sukan itu pada tahun depan.