AS Curi Minyak Syria, Terdedah Wajah Penyamun

2022-07-21 13:50:46  CRI
Share with:

Jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin menyifatkan tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) yang mencuri sumber minyak dari Syria sebagai tindakan penyamun.

Tentera AS dilaporkan telah menggali minyak secara mencuri-curi di kawasan telaga minyak Syria yang didudukinya dan menghantarnya ke bahagian utara Iraq baru-baru ini yang merupakan kali ketiga dalam bulan Julai.

Menteri Minyak dan Sumber Galian Syria sebelum ini pernah menuduh AS dan rakan sekutunya bertindak “seumpama penyamun” mencuri minyak dan bijirin di negaranya, dan lakuan yang biadab itu sudah menyebabkan ekonomi Syria terjejas teruk.

Wang berkata, 90 peratus penduduk Syria hidup di bawah paras kemiskinan, manakala dua pertiga polulasi di negara itu bergantung kepada bantuan kemanusiaan, dan lebih separuh rakyatnya gagal mendapat bekalan bijirin yang terjamin.

“Tentera AS masih menduduki padang minyak dan lubuk bijirin utama di Syria. Tindakan mereka yang merampas sumber Syria memburukkan lagi krisis kemanusiaan setempat,” kata Wang.

Wang Wenbin menegaskan, AS digesa menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria, memberikan respons terhadap seruan rakyat Syria, dengan segera membatalkan sekatan sepihak ke atas Syria dan tindakan merampas sumber negara tersebut, serta mengambil tindakan yang substantif untuk menutup kemudaratan yang diakibatkannya terhadap rakyat Syria.