CMSA: Kru Shenzhou-14 Masuk Modul Eksperimen Wentian

2022-07-25 13:13:01  CRI
Share with:

Kru Shenzhou-14 berjaya memasuki modul eksperimen Wentian tepat pukul 10.03 pagi tadi, umum Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).

Menurut CMSA, modul eksperimen pertama stesen angkasa lepas China itu berlabuh dengan modul teras Tianhe pada pukul 3.13 pagi tadi, selepas ia memasuki orbit seperti yang dirancang dan menyiapkan penentuan status.

Keseluruhan proses pencantuman mengambil masa kira-kira 13 jam, yang julung-julung kalinya diadakan dengan membabitkan dua kapal angkasa masing-masing seberat 20 tan di laluan orbit yang dikehendaki.

Difahamkan, modul Wentian dilancarkan menggunakan roket pembawa Long March 5B Y3 dari Pusat Pelancaran Kapal Angkasa Wenchang di wilayah Hainan, petang Ahad.

Ia merupakan misi penerbangan ke-24 sejak projek penerbangan angkasa lepas membawa angkasawan dilaksanakan.

Berfungsi sebagai makmal pertama dalam stesen Tiangong, modul Wentian memperkenalkan pelbagai teknologi canggih yang dibangunkan secara sendiri, sekali gus memaparkan pencapaian baharu dalam industri angkasa.

Direka untuk eksperimen sains dan biologi, modul berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu ruang kerja anak kapal, kabin sendat udara dan kabin servis.

Seberat 23 tan metrik, makmal angkasa lepas tersebut mempunyai tinggi berukuran 17.9 meter, iaitu bersamaan dengan bangunan kediaman enam tingkat, selain turut mempunyai diameter berukuran 4.2 meter.

Ia merupakan kapal angkasa terbesar dan paling berat pernah dibangunkan China dan juga kapal angkasa bergerak kendiri yang paling berat di dunia.

Selain itu, Wentian mempunyai sebuah lengan robot bersaiz kecil yang boleh digunakan secara sendiri atau bersama dengan lengan robot besar modul teras bagi menjalankan aktiviti luar kenderaan (EVA).

Wentian juga berfungsi sebagai modul sandaran, selain mampu mengambil alih fungsi mengawal stesen angkasa lepas sekiranya modul teras mengalami kerosakan.