Gadis Muda Harumkan Nama Produk Tempatan

2022-07-28 15:03:24  CRI
Share with:

Kampung Xianggu setinggi 3,500 meter dari paras laut yang terletak di daerah autonomi Yushu berpenduduk etnik Tibet di wilayah Qinghai, mempunyai padang rumput yang luas dengan menghasilkan produk ternakan yak organik.

Namun, produk tempatan kurang diketahui umum berikutan kekurangan akses maklumat dan kemudahan pengangkutan sejak sekian lama.

Selepas tamat pengajian di universiti, Daiqing Yongcuo memilih untuk pulang semula ke tempat lahirnya, iaitu kampung Xianggu dengan impian membangunkan jenama produk tempatan.

Mula-mula dia mengambil alih perniagaan bapanya dengan percubaan meningkatkan kepelbagaian produk dan meneroka saluran pemasaran yang lama-kelamaannya menyaksikan operasi perniagaan bertambah baik.

Wanita berumur 25 tahun itu turut mengorak langkah mengembangkan lagi sayap perniagaannya dengan menubuhkan sebuah syarikat.

Selain menjalinkan kolaborasi dengan lebih 40 orang penternak dan koperasi tempatan, Daiqing juga menjadi ejen pemasaran hasil pertanian keluaran Tibet, Sichuan dan Yunnan.

Kini, peniaga etnik Tibet tersebut menukar strategi pemasaran perniagaannya dari pemasaran tradisi kepada pemasaran digital, sejajar dengan arus pembangunan teknologi media.

Kata Daiqing, hasil keuntungan dijana syarikatnya dalam dan luar talian melepasi 1.2 juta yuan dalam tempoh separuh pertama tahun ini, antaranya sebanyak 390,000 yuan yang disumbang menerusi penstriman langsung.