Industri PV China Sumbang 70 Peratus Komponen kepada Pasaran Global: NEA

2022-07-28 12:30:16  CRI
Share with:

Susun atur kolaborasi China dengan negara lain dalam sektor tenaga kini semakin dioptimumkan, manakala industri fotovolta (PV) China pula menyumbang lebih 70 peratus komponen kepada pasaran global.

Demikian ujar Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Tenaga Negara (NEA), Zhang Jianhua ketika mengulas mengenai usaha China dalam mempercepat pembangunan negara gergasi tenaga sambil memastikan keselamatan tenaga, dalam sesi taklimat pada Rabu.

Menyentuh tentang keberhasilan bidang berkenaan, Zhang memberitahu kerjasama tenaga di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) terus dipergiat secara berkualiti tinggi.

Menurutnya, mesyuarat menteri tenaga BRI dianjurkan dengan jayanya sebanyak dua kali iaitu di Suzhou dan Qingdao, di samping mengesyorkan pembentukan perkongsian tenaga BRI yang jumlah negara anggotanya kini mencecah 33.

"China turut membina mekanisme kerjasama tenaga antara kerajaan dengan lebih 50 negara dan wilayah, selain menjalin ikatan kerjasama dengan lebih 30 organisasi tenaga antarabangsa dan mekanisme multilateral yang berkaitan," ujar beliau.

Difahamkan, China turut menggerakkan kerjasama melibatkan projek tenaga hijau dengan lebih 100 negara dan wilayah, sekali gus menjadikan usaha sama membangunkan BRI diterapkan konsep hijau.

Hasil usaha tersebut, eksport peralatan teknologi kuasa nuklear yang dibangunkan China sendiri, seperti Hualong One atau juga dikenali sebagai HPR1000 turut mencapai kemajuan, sementara teknologi penghantaran arus terus voltan ultra tinggi (UHVDC) diguna pakai di negara asing.

Seiring dengan kesalinghubungan infrastruktur membabitkan minyak, gas dan elektrik dengan negara-negara jiran, pengaruh China dalam arena tenaga antarabangsa terus meningkat.

Ia secara tidak langsung memberikan sumbangan penting dalam menggalakkan pembangunan mampan tenaga sejagat serta membina dunia yang lebih bersih dan indah.