Kereta Api Kargo Multimod China-Kyrgyzstan-Uzbekistan Mula Beroperasi

2022-07-28 14:13:31  CRI
Share with:

Sebuah kereta api yang membawa muatan kargo  berlepas dari Zon Pelabuhan Darat Antarabangsa Urumqi, wilayah Xinjiang menuju ke Uzbekistan pagi Khamis, menerusi perkhidmatan pengangkutan membabitkan rangkaian rel dan sistem lebuh raya rentas sempadan.

Sarat dengan 204 tan kargo antaranya kain dan benang kapas, tren itu akan tiba di stesen kereta api Kashgar menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel, lalu beralih kepada lebuh raya selepas meninggalkan pelabuhan Irkeshtam di Xinjiang menuju ke Tashkent, Uzbekistan.

Ia bukan sahaja menandakan beroperasinya perkhidmatan pengangkutan kargo antarabangsa China-Kyrgyzstan-Uzbekistan yang menggabungkan lebuh raya dan kereta api, malah turut mempamerkan kemajuan baharu dalam saluran pengangkutan multimod baharu bagi kereta api kargo China-Eropah dan China-Asia Tengah.

Difahamkan, dengan hanya memerlukan satu kali konsainan, pembayaran, insurans dan satu dokumen penyata, pengendali perkhidmatan pengangkutan rel dan lebuh raya akan bersama-sama menyelesaikan keseluruhan proses pengangkutan barangan.

Pengangkutan multimod itu akan menjimatkan tiga hingga lima hari berbanding kaedah penghantaran tradisional, sekali gus menyediakan sebuah saluran yang lebih mudah dan cekap untuk perniagaan antara China dan Asia Tengah.