Kesejahteraan Rakyat Hak Asasi Manusia Terpenting

2022-07-29 13:02:34  CRI
Share with:

China mengutamakan nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat, dan menganggap kesejahteraan rakyat sebagai hak asasi manusia yang paling penting.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian ketika diminta mengulas kenyataan peserta Forum Hak Asasi Manusia Beijing 2022 yang menyebut kerajaan China mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyatnya ketika melawan pandemik COVID-19 dan memelihara hak asasi manusia pada tahap maksimum.

Zhao menyatakan bahawa kadar jangkitan dan kadar kematian COVID-19 di China adalah yang paling rendah di dunia, dan ini turut memberi jaminan kepada keselamatan dan kesihatan 1.4 bilion rakyat China dan warga asing di negara ini.

Dalam pada itu, China bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan berkongsi maklumat berkaitan dengan pertubuhan dan negara-negara lain, di samping memberikan bantuan melawan pandemik kepada lebih 150 buah negara dan 15 pertubuhan antarabangsa.

Zhao berkata, China bersedia meningkatkan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mengatasi pandemik, dan menyumbang kepada jaminan hak asasi manusia oleh seluruh umat manusia.