AS Diingatkan Jangan Atur Lawatan Pelosi ke Taiwan

2022-08-01 19:30:50  cri
Share with:

Lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akan mencampuri urusan dalaman China sekiranya ia melibatkan Taiwan.

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam taklimat media hari ini.

Zhao turut menyifatkannya sebagai amalan yang menjejaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah China, di samping menginjak-injak prinsip satu China serta mengancam kedamaian dan kestabilan Selat Taiwan.

Menurutnya, hal itu akan merosakkan teruk hubungan China-AS sehingga mengundang padah yang amat serius.

Zhao berkata, Presiden Xi Jinping dalam perbualan dengan rakan sejawatnya dari AS, Joe Biden pada Khamis menegaskan keazaman teguh seluruh rakyat China untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah.

“China komited mengambil tindakan balas yang tegas dan berkesan untuk menjaga kedaulatan negara serta integriti wilayah,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pihak AS supaya mematuhi prinsip satu China dan tiga pengumuman bersama China-AS, menepati janji Presiden Joe Biden yang tidak menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’, dan tidak mengatur lawatan Pelosi ke Taiwan.