Sorotan Acara Penting CIFTIS 2022
Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2022 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China (CNCC) dan Taman Shougang di sini, mulai 31 Ogos hingga 5 September.
CIFTIS edisi kali ini akan bertemakan "Bekerjasama untuk pembangunan yang lebih baik, inovasi untuk masa depan yang lebih hijau", di samping slogan tetapnya iaitu "Perkhidmatan Global bagi Manfaat Bersama dan Perkongsian".
Disifatkan sebagai platform komprehensif berskala terbesar dalam bidang perdagangan perkhidmatan di dunia, CIFTIS 2022 akan meliputi kawasan pameran seluas 152,000 meter persegi.
Difahamkan, ia juga akan memberi tumpuan kepada perlindungan ekologi, teknologi dan aplikasi baharu dalam bidang penjimatan tenaga serta mesra alam bagi mencapai matlamat kemuncak pelepasan karbon dan status neutral karbon.
Teknologi dan aplikasi dalam bidang ‘metaverse’ serta Internet generasi baharu akan dipaparkan dalam pameran berkaitan telekomunkasi, komputer dan perkhidmatan maklumat.
Sebanyak 65 negara dan pertubuhan antarabangsa dilaporkan mengesahkan untuk mengambil bahagian dalam acara ini secara dalam talian atau secara fizikal.
Pertubuhan Pembangunan Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia akan mengadakan pameran serta menganjurkan forum.
Manakala, syarikat-syarikat dari 30 negara dan kawasan yang mempunyai kelebihan dalam perdagangan perkhidmatan serta syarikat-syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dipelawa untuk menyertai CIFTIS edisi ini bagi meningkatkan jumlah peserta antarabangsa.
Selain itu, CIFTIS 2022 akan menyaksikan lebih 163 forum dan sesi penyiaran laporan, dengan tujuh daripadanya yang juga forum kemuncak akan mengumumkan laporan-laporan termasuk mengenai perkembangan perdagangan perkhidmatan di China, trend baharu perdagangan perkhidmatan global dan pembangunan bandar pelancongan dunia.
Sebanyak 84 syarikat dan institusi terkenal di dunia akan memaklumkan hasil yang berjaya dicapai.