Duta Besar AS ke China Dipanggil

2022-08-03 12:28:17  CRI
Share with:

Naib Menteri Luar China, Xie Feng memanggil Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke China, R. Nicholas Burns dan menyatakan bantahan keras terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan lewat malam tadi.

"Pelosi sengaja memprovokasi dan bermain api, melanggar prinsip 'Satu China' dan peraturan dalam Tiga Penyataan Bersama China-AS, merosakkan asas politik hubungan bilateral, mencabuli kedaulatan dan keutuhan wilayah China, menjejaskan kestabilan Selat Taiwan, dan memberi isyarat salah kepada puak pemisah untuk 'Kemerdekaan Taiwan'.

 "Perbuatan yang keji itu mendatangkan kesan yang amat serius, dan akan ditindak balas," ujar beliau.

Menurut Xie, kerajaan AS perlu bertanggungjawab dan menerima hukuman atas kesalahan sendiri.

Beliau turut mendesak AS supaya segera membetulkan kesalahan, menghapus pengaruh negatif lawatan Pelosi, menghentikan provokasi berhubung isu Taiwan, serta menghentikan sokongan kepada kuasa puak pemisah untuk 'Kemerdekaan Taiwan'.

Xie juga meminta AS agar berhenti merancang menyekat China menerusi isu Taiwan, tidak campur tangan dalam urusan Taiwan dan hal ehwal dalaman China, serta tidak terus melakukan kesalahan dan mengambil jalan bahaya.

Dalam perkembangan lain, Duta Besar China ke AS, Qin Gang turut menyatakan membantah keras terhadap lawatan Pelosi ke Taiwan.