Tiada Ruang untuk ‘Kemerdekaan Taiwan'

2022-08-04 19:27:55  CRI
Share with:

Tiada ruang dan peluang bagi sebarang aktiviti pemisah yang menginginkan 'kemerdekaan Taiwan' dalam apa jua bentuk serta campur tangan asing.

Pendirian itu ditegaskan menerusi jurucakap Kementerian Pertahanan China Tan Kefei ketika mengulas lebih lanjut mengenai operasi ketenteraan bersasar sebagai tindakan balas terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan.

Tan berkata, kunjungan mengejut tersebut mengabaikan sama sekali komitmen AS yang tidak menyokong cubaan 'kemerdekaan Taiwan', dan dianggap sebagai suatu provokasi politik serius yang menjejaskan hubungan ketenteraan China-AS dan mengeruhkan keamanan Selat Taiwan.

Menurutnya, Medan Perintah Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mengadakan latihan tempur bersasar di sekitar Taiwan melibatkan tentera laut dan udara, sebagai amaran kepada pakatan sulit AS-Taiwan.

Tan turut memberi amaran kepada AS dan pihak berkuasa Parti Progresif Demokratik (DPP) bahawa amalan mengekang China mempergunakan Taiwan hanya sia-sia belaka, dan cubaan mengejar 'kemerdekaan Taiwan' melalui persubahatan dengan kuasa luar nescaya akan menemui kegagalan.