China Keluarkan Bantahan Keras kepada Diplomat Negara Eropah dan EU

2022-08-05 14:33:39  CRI
Share with:

Atas arahan kerajaan China, Naib Menteri Luar, Deng Li memanggil diplomat negara Eropah berkenaan dan Kesatuan Eropah (EU) ke China dan menyatakan bantahan keras terhadap kenyataan mengenai isu Taiwan yang dikeluarkan Menteri Luar G7 serta Wakil Tertinggi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan pada khamis.

 

Deng menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah memutarbelitkan fakta, selain merupakan langkah untuk campur tangan terhadap urusan dalaman China dengan sewenang-wenangnya.

 

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi politik secara terang-terangan, sekali gus memberi isyarat salah kepada puak yang mahu memisahkan Taiwan daripada China.

 

“Prinsip Satu China adalah norma asas hubungan antarabangsa yang diketahui umum dan konsensus masyarakat antarabangsa.

 

“Ia merupakan dasar politik bagi hubungan China dengan pelbagai negara, dan adalah mustahil bagi garisan merah serta batas itu untuk dilampaui,” ujar Deng.

 

Menurut Deng, hanya terdapat satu sahaja China di dunia ini, dan Taiwan pula adalah sebahagian wilayah China, sementara Kerajaan Republik Rakyat China merupakan satu-satunya kerajaan yang sah yang mewakili seluruh negara China.

 

“Negara yang mengikat hubungan diplomatik dengan China tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan rasmi dengan Taiwan,” tegasnya.

 

Tambah Deng, lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan adalah manipulasi politik, mencemarkan kedaulatan serta keutuhan wilayah China secara terang-terangan, dan sudah pasti akan mengundang tindakan balas China.

 

Untuk rekod, pihak Eropah bukan sahaja tidak menasihati dan mengutuk langkah AS yang menghasut cubaan memecahbelahkan Taiwan daripada China, menegangkan lagi situasi Selat Taiwan dan berniat membendung China melalui isu Taiwan, bahkan dalam kenyataan itu menyebut “akan mematuhi dasar Satu China pada masa yang tepat”.

 

“Ini secara serius melanggar prinsip Satu China dan menjejaskan dasar politik kedua-dua pihak,” kata Deng.

 

Beliau turut menekankan untuk mana-mana negara agar jangan memandang rendah ketegasan, iltizam dan keupayaan kerajaan dan rakyat China dalam memelihara kedaulatan negara.