AS Digesa Jangan Bertindak Terburu-buru, Cetus Krisis Besar

2022-08-06 13:08:59  CRI
Share with:

China komited untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, dan bertindak tegas dalam usaha mengekang cubaan Amerika Syarikat (AS) membendung China menggunakan Taiwan dan menghancurkan ilusi pihak berkuasa Taiwan mengejar ‘kemerdekaan’ menerusi sokongan AS.

Demikian tegas ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi ketika mengulas lebih lanjut mengenai pendirian Beijing berhubung isu Taiwan.

Wang berkata, tanpa menghiraukan bantahan dan tentangan keras daripada Beijing, Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi nekad berkunjung ke Taiwan. Ia sebenarnya dilakukan secara terang-terangan di bawah komplot dan aturan kerajaan AS.

Kelakuan itu mencabul kedaulatan negara, mencampuri urusan dalaman China, melanggar komitmen yang dibuatnya kepada China serta mengeruhkan keamanan dan kestabilan Selat Taiwan.

“Sudah tentu kami (China) bertindak balas secara tegas. Pendirian kami adalah sah dan munasabah, respons teguh dan wajar, manakala latihan ketenteraan dilakukan secara terbuka, telus dan profesional.

“Ia serasi dengan undang-undang domestik, undang-undang antarabangsa dan kelaziman global,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat menteri luar kerjasama Asia Timur di Phnom Penh, Jumaat.

Wang menegaskan, respons China adalah untuk mempertahankan keluhuran undang-undang antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa, khususnya tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman, iaitu rukun paling penting yang ditetapkan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Terdapat lebih 100 negara tampil berdiri di sisi China, dengan mengulangi pendirian mereka mengamalkan dasar satu China dan menyokong pendirian sah China,” tambah beliau.

Sebagai respons kepada dakwaan AS bahawa China mengubah status quo Selat Taiwan, Wang menyelar kenyataan itu berbaur fitnah.

“Taiwan tidak pernah merupakan sebuah negara. Hanya ada satu China, dan kedua-dua belah selat itu milik negara yang sama. Inilah status quo Taiwan sejak zaman purbakala,” tegas beliau.

Apabila menyentuh laporan bahawa AS sedang menambah bilangan tentera di rantau ini, Wang mengingatkan semua pihak supaya berwaspada.

“Biasanya, AS menimbulkan masalah dahulu, lalu menggunakannya untuk mencapai matlamat diinginkan. Namun, pendekatan ini takkan berfungsi jika berdepan dengan China,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada AS supaya jangan bertindak terburu-buru dan tidak mencetuskan krisis yang lebih besar.