Kapal Persiaran Besar Buatan China Kedua Mula Dibina

2022-08-09 11:47:28  CRI
Share with:

Pembinaan kapal persiaran bersaiz besar buatan China yang kedua dimulakan secara rasmi oleh Syarikat Pembinaan Kapal Waigaoqiao Shanghai, pada Isnin.

Ia sekali gus menandakan bahawa industri pembinaan kapal China berjaya menguasai teknologi teras utama dalam reka bentuk dan pembinaan kapal persiaran besar, selain turut membawa makna signifikan terhadap kebolehan China sebagai negara yang hebat dalam bidang maritim, perkilangan, serta sains dan teknologi.

Kapal persiaran tersebut yang panjang dan lebarnya masing-masing 341 meter dan 37.2 meter mempunyai had muatan sekitar 142,000 tan, manakala kelajuan maksimumnya mampu mencapai 22.7 batu nautika sejam, selain turut mempunyai 2,144 kabin penumpang.

Bagi memenuhi standard pelepasan yang ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), kapal persiaran tersebut juga adalah bercirikan hijau dan mesra alam.

Ia turut dilengkapi dengan kompleks besar sehingga 16 tingkat, dengan pusat persembahan dan restoran besar, restoran istimewa, kafe, plaza beli-belah, koridor seni, pusat kanak-kanak, spa, dan taman air.

Syarikat Pembinaan Kapal China (CSSC) bekerjasama dengan syarikat perisian R&D kejuruteraan terkemuka di dunia bagi mencipta perisian reka bentuk "integrasi tiga dimensi" hingga berjaya digunakan dalam pembinaan kapal tersebut.

Pembinaan kapal persiaran tersebut secara langsung mempamerkan keupayaan pembinaan kelengkapan dan tahap teknologi komposit sesebuah negara.

Memperkasakan reka bentuk dan pembinaan kapal persiaran besar ialah projek penting dalam transformasi dan penaiktarafan industri pembinaan kapal China serta mampu meningkatkan pengaruh industri pembuatan China di arena antarabangsa.

Untuk rekod, kapal persiaran besar buatan China pertama memasuki fasa pembinaan substantif pada 18 Oktober 2019 dan kini projek itu berjalan dengan teratur mengikuti jadual.