China Seru Rakyat Asia Barat Menolak Hegemoni dan Pembulian AS

2022-08-12 13:22:15  CRI
Share with:

China menyeru agar lebih ramai orang di Asia Barat menyuarakan sikap menolak terhadap hegemoni dan pembulian politik Amerika Syarikat (AS).

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin sebagai respons terhadap satu laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengajian Hak Asasi Manusia China (CSHRS) baru-baru ini untuk mendedahkan siri jenayah serius yang melanggar undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat dan kawasan sekitarnya.

“China juga menyeru Majlis Hak Asasi Manusia dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) untuk menumpu kepada kegiatan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan AS di Asia Barat dan kawasan sekitarnya serta mengambil tindakan balas yang diperlukan,” kata Wang.

Menurut Wang, AS melancarkan peperangan dan konflik secara sewenang-wenang di Asia Barat dan kawasan sekitarnya yang melibatkan Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria, sehingga menyebabkan hak hidup penduduk tempatan terjejas dan keselamatan nyawa mereka terancam. 

“AS juga memaksa negara-negara berkenaan menjalankan transformasi dan mengenakan sekatan unilateral terhadap negara rantau itu yang sebenarnya merupakan pencabulan terhadap hak pembangunan dan kesihatan milik penduduk tempatan. 

“AS menghasut ‘revolusi berwarna’ untuk menggulingkan kerajaan di banyak negara Asia Barat, selain mengenakan sekatan ekonomi secara sewenang-wenang sehingga melumpuhkan ekonomi di negara-negara terbabit dan mengakibatkan rakyat tempatan menghadapi kesukaran hidup,” kata jurucakap itu.

Menurut Wang, jenayah yang dilakukan AS juga melibatkan tindakan mencipta ‘konflik tamadun’ yang merupakan pelanggaran terhadap kebebasan beragama.  

"AS mereka-reka dan menyebarkan anggapan ‘konflik tamadun’, mengapi-apikan sentimen ‘Islamophobia’ serta menyeksa tahanan Islam, selain bertindak mencalar imej tamadun Islam di Asia Barat,” kata Wang.