Ekspo Jalan Sutera, Wadah Bincang Kerjasama Saling Untung

2022-08-15 14:47:11  CRI
Share with:

Ekspo Jalan Sutera Antarabangsa ke-6 dirasmikan di bandar Xi'an, ibu kota provinsi Shaanxi China pada Ahad.

Tetamu dan pedagang dari lebih 70 negara dan wilayah termasuk Korea Selatan, Thailand dan Singapura menyertai ekspo kali ini secara dalam dan luar talian, membincangkan usaha memperkasakan pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping berkongsi peluang baharu daripada kerjasama antarabangsa.

Penolong Menteri Perdagangan China, Li Fei ketika berucap pada majlis perasmian ekspo tersebut berkata, dalam tempoh sembilan tahun sejak BRI dianjurkan, kelancaran perdagangan antara China dengan negara-negara terlibat ditingkatkan ke tahap baharu, kerjasama pelaburan mencapai kemajuan baharu, manakala kerjasama dua hala, pelbagai hala serta kerjasama serantau melakar kejayaan baharu.

Pada tahun 2013 hingga 2021, menurut Li, jumlah dagangan antara China dengan negara-negara terlibat BRI mencatat hampir USD11 trilion (RM48.97 trilion), jumlah pelaburan dua hala melebihi USD230 bilion (RM1.02 trilion), dan jumlah nilai projek kontrak yang telah diselesaikan mencatat kira-kira USD730 bilion (RM3.25 trilion).

Sehingga akhir tahun 2021, China telah membina 79 zon kerjasama ekonomi dan perdagangan di 24 negara terlibat BRI, melibatkan pelaburan sebanyak USD43 bilion (RM191.43 bilion). Ia sekali gus menawarkan sebanyak 346,000 peluang kerja kepada rakyat tempatan.