China Giat Bangunkan Tenaga Bersih, Tingkatkan Kualiti Udara

2022-08-16 13:33:03  CRI
Share with:

Bandar Tangshan merupakan tempat pengeluaran keluli utama di provinsi Hebei, dengan jumlah output kelulinya sekitar satu perlapan daripada keseluruhan China.

Terletak kira-kira 180 kilometer dari timur Beijing, Tangshan suatu ketika dahulu merupakan antara bandar yang mengalami pencemaran paling serius di negara ini.

Namun, keadaan itu berubah susulan tindakan pihak berkuasa tempatan yang giat mengambil siri inisiatif bagi menangani pencemaran akibat industri keluli.

Perubahan itu juga dapat disaksikan dengan jelas menerusi dua fotograf satelit yang diambil pada sepuluh tahun lalu dan sekarang terhadap kilang besi dan keluli Jinxi di bandar Tangshan.

Kedua-dua gambar berkenaan memperlihatkan bahawa ruang udara di atas kilang itu berubah menjadi bersih dan terang berbanding dipenuhi jerebu pada masa dahulu.

Difahamkan, kilang besi dan keluli Jinxi kini menggunakan sistem pintar bagi menjalankan pemantauan terhadap pelepasan bahan pencemaran sepanjang masa.

Sekarang, jumlah pelepasan bahan pencemaran utama oleh kilang tersebut hanya satu persepuluh jika dibandingkan dengan tahun 2012.

Selain itu, pengubahsuaian struktur tenaga juga membantu meningkatkan kualiti udara di seluruh provinsi Hebei.

Menurut statistik, purata kepekatan PM2.5 di Hebei telah menurun kepada 38.8 mikrogram per meter padu pada 2021 daripada 108 mikrogram per meter padu pada 2013.

China kekal menduduki tempat pertama dalam penjanaan elektrik dengan tenaga boleh diperbaharui sepanjang sedekad lalu. Pada masa ini, satu pertiga kuasa elektrik yang digunakan rakyat China dijana menggunakan tenaga bersih.

Kualiti udara yang semakin baik turut membawa peluang baharu kepada sektor pelancongan, termasuk menawarkan pakej menikmati taburan bintang yang bergemerlapan.

Kini, jumlah hotel dan rumah inap desa yang menawarkan pakej itu bertambah lebih 10 kali ganda berbanding pada 2013.