Xi Yakin Terhadap Kebangkitan Kawasan Timur Laut China

2022-08-18 14:14:01  CRI
Share with:


Presiden China, Xi Jinping mengadakan tinjauan di bandar Jinzhou, provinsi Liaoning, timur laut China pada Selasa.

Beliau turut menjejakkan kaki ke Taman Hutan Tasik Timur iaitu taman hutan seluas 117.5 hektar yang terletak di tebing Sungai Xiaoling.

Digelar sungai ibunda bandar Jinzhou, Sungai Xiaoling pada suatu ketika dahulu pernah mengalami masalah kekurangan air dan pencemaran di kawasan tebingnya.

Sejak 2014, kerajaan Jinzhou melaksanakan pendekatan yang komprehensif bagi menambah baik persekitaran sungai Xiaoling dan membina jalur penghijauan di tebing sungai tersebut.

Kini, sungai itu bukan sahaja mempunyai landskap yang sangat indah, malah turut menjadi lokasi popular untuk sukan papan luncur angin dan berkayak.

Untuk rekod, kawasan timur laut China merupakan pangkalan perindustrian penting pada masa dahulu.

Namun, perkembangan ekonomi di kawasan itu menjadi perlahan jika berbanding kawasan timur seiring pelaksanaan berterusan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.

Justeru, kerajaan China mengemukakan strategi untuk membangunkan semula kawasan timur laut.

Ketika beramah mesra dengan penduduk bandar Jinzhou, Xi berkata bahawa modenisasi ala China menyasar kemakmuran bersama seluruh masyarakat, dan tidak hanya tertumpu kepada golongan minoriti.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kebangkitan kawasan timur laut, sambil menegaskan pentingnya mempercepat pengubahsuaian struktur industri selaras dengan keperluan pembangunan era baharu.