China, Afrika Ikrar Jalin Kerjasama Lebih Mantap

2022-08-19 13:55:18  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi mempengerusikan mesyuarat penyelaras mengenai pelaksanaan hasil Persidangan Menteri-Menteri ke-8 Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) secara maya di sini, pada Khamis. 

Semasa persidangan menteri FOCAC kelapan di Dakar pada November lalu, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan sembilan projek utama untuk meningkatkan kerjasama dengan negara Afrika.

Wang berkata bahawa hasil persidangan itu dilaksanakan dengan baik dan membawa manfaat besar kepada rakyat Afrika.

“Berada di titik permulaan baharu dalam sejarah, China dan Afrika harus memperkukuh solidariti dan berganding bahu ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib pada era baharu,” ujarnya.

Wang turut mengemukakan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi hubungan China-Afrika, yang antara lainnya termasuk memperkukuh perpaduan dan bantu-membantu, berusaha mewujudkan pembangunan bersama, kekal berdikari dan bermandiri, serta bergabung tenaga menggalakkan keamanan serantau.

Beliau juga mengesyorkan supaya keterbukaan dan situasi sama menang dijunjung, di samping memastikan pembangunan sihat kerjasama antarabangsa dengan Afrika.

Difahamkan, mesyuarat itu dihadiri Menteri Luar Senegal, Aissata Tall Sall dan wakil dari pelbagai subrantau Afrika, Suruhanjaya Kesatuan Afrika serta diplomat negara-negara Afrika di China.