Presiden Xi Beri Penekanan Usaha Inovasi Kendiri

2022-08-19 15:16:08  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyifatkan inovasi kendiri serta pewujudan persekitaran kondusif untuk usaha tersebut sebagai penting bagi memacu pembangunan negara.

Ketika melawat Syarikat Siasun Robot dan Automasi Berhad Shenyang di provinsi Liaoning pada Rabu, beliau menekankan perlunya usaha digandakan untuk menaik taraf sektor perindustrian menerusi inovasi, sekali gus menggalakkan transformasi negara ke arah gergasi ekonomi dan pembuatan.  

"Berdepan kebangkitan arus yang bertentangan dengan globalisasi ekonomi serta fahaman perlindungan buat masa ini, kita mesti terus mengekalkan keterbukaan demi menjana pembangunan negara," ujarnya. 

Beliau berkata, adalah penting untuk mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu yang mengambil kitaran domestik sebagai tonggak utama, manakala kitaran domestik dan kitaran antarabangsa saling menggalakkan.

"Kita mesti terus menempuh jalan pembangunan berlandaskan inovasi berdikari ke arah membangunkan negara sosialis moden yang kuat dan merealisasikan Matlamat Seratus Tahun yang kedua," tambah Xi.

Beliau menyatakan usaha perlu diperkasakan untuk mencapai kemandirian serta pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi, di samping memastikan teknologi teras dan industri pembuatan peralatan diletak di tangan sendiri. 

Xi turut menyifatkan golongan belia yang cergas dan penuh semangat sebagai harapan kepada pembangunan perusahaan.

Justeru, beliau mahu persekitaran yang baik diwujudkan untuk merangsang daya inovasi dan kreativiti belia, menggalakkan mereka berani melakukan inovasi dalam pelbagai bidang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kawasan timur laut China pada era baharu.