Neutral Karbon Dipergiat Melalui Penghijauan Taman

2022-08-22 12:47:40  CRI
Share with:


Minggu Sains Teknologi Kebangsaan 2022 yang juga Minggu Sains Teknologi Beijing membuka tirainya pada Sabtu dan dijadual berlangsung di Taman Hutan Lyuxin, daerah Tongzhou sehingga 27 Ogos.

Pelbagai acara termasuk pameran, simulasi latar, imej gambar dan video, interaktif dan pentafsiran profesional akan diadakan oleh Jabatan Penghijauan Taman Beijing untuk memperlihatkan pencapaian terkini dalam inovasi sains teknologi penghijauan taman.

Antara lain yang akan ditonjolkan adalah aktiviti oleh penggiat bidang penghijauan taman untuk mempergiat pencapaian matlamat neutral karbon, kepelbagaian biologi dan pembinaan penghijauan saintifik secara berkualiti tinggi. 


Penduduk bandar juga boleh membeli pelekat “neutral karbon” dengan membayar RMB300 (RM197), di samping boleh menanam lapan anak pokok di tapak yang ditetapkan.

Menurut pengiraan, jumlah pelepasan karbon yang dihasilkan oleh sebuah kereta dalam masa setahun (kira-kira 11,000 km) mampu dineutralkan oleh lapan batang pokok tersebut dalam masa 20 tahun.

Untuk memudahkan penduduk bandar menyertai “neutral karbon”, Kempen 100 Taman “Neutral Karbon” turut sama dianjurkan.

Pengunjung taman boleh mengakses maklumat pelepasan karbon dalam kehidupan harian melalui kemudahan “kompas pengiraan tapak kaki karbon” yang dilengkapi di 100 buah taman seluruh bandar Beijing.

Antara tarikan lain adalah pengunjung boleh menanam pokok secara dalam talian melalui aplikasi telefon pintar bagi mengetahui berapa batang pokok perlu ditanam untuk meneutralkan pelepasan karbon.