Hubungan China, Korea Selatan Perlu Kekal Utuh

2022-08-25 13:44:20  CRI
Share with:

China dan Korea Selatan harus sentiasa berpegang kepada aspirasi asal, saling menghormati dan mempercayai, di samping mengekalkan integrasi dan kesalinghubungan demi pembangunan bersama.

Demikian ujar Menteri Luar China Wang Yi ketika berucap pada majlis jamuan bagi menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik China-Korea Selatan di Beijing pada Rabu.

Ahli Dewan Negara itu berkata, kedua-dua negara berkenaan harus sentiasa menjaga ikatan mesra antara satu sama lain dan bergerak sehaluan, serta bersama menegakkan keadilan demi keamanan.

Menurut beliau, sejak tiga dekad lalu, rasa saling percaya antara China dan Korea Selatan dalam bidang politik kian meningkat, menyaksikan penjalinan ikatan rakan kongsi strategik dengan aktiviti pertukaran pelbagai peringkat berjalan lancar.

Selain itu, kerjasama saling menguntungkan antara kedua-dua negara membuahkan hasil yang memberangsangkan, dengan nilai dagang naik kepada AS$360 bilion(RM1611 bilion) dan pelaburan dua hala melepasi AS$100 bilion(RM447.5 bilion).

Tambah Wang, China dan Korea Selatan komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, bergiat dalam menyelesaikan isu Semenanjung Korea menerusi pendekatan politik, di samping mengekalkan kerjasama erat dalam rangka kerja pelbagai hala yang melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20 (G20), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN+3.