Xi Galak Pakar Asing Menyumbang kepada Pertukaran China-Dunia

2022-08-27 12:30:44  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping berharap pakar asing yang berkhidmat di agensi penerbitan China, iaitu Percetakan Bahasa Asing (FLP) dapat terus menyumbang kepada peningkatan pertukaran dan interaksi antara China dengan negara lain, dan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Harapan itu diluahkan beliau menerusi surat balasnya kepada pakar asing berkenaan sempena ulang tahun ke-70 penubuhan agensi penerbitan itu pada Khamis.

Dalam surat itu, Xi berkata pakar yang berasal dari pelbagai negara dan mempunyai latar belakang yang berbeza membawa perspektif yang sama mengenai negara China dan keunggulan budaya China, sehingga memberi sumbangan besar dalam bidang penterjemahan dan penerbitan di negara ini.

Beliau menyatakan, terjemahan yang tepat lagi ekspresif akan membantu dunia lebih memahami China pada era baharu, sekali gus memainkan peranan penting dalam menggalakkan aktiviti pertukaran dan saling belajar sesama tamadun.

Presiden itu turut menggesa pakar asing supaya terus memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam menceritakan kisah China menerusi penghasilan lebih banyak terjemahan bersasar pembaca luar negeri.

Ditubuhkan pada 1952, FLP merupakan agensi penerbitan pertama yang menghasilkan terbitan dalam bahasa asing selepas penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.

Dalam tempoh tujuh dekad lalu, agensi penerbitan itu menterjemah dan menerbitkan lebih daripada 30,000 jenis buku dalam lebih 40 bahasa, dengan pengedaran global melepasi 400 juta salinan.