China Perkasakan Pembangunan Kereta Pintar

2022-08-29 14:47:22  cri
Share with:

 

BEIJING, 29 Ogos -- Kementerian Pengangkutan China mengumumkan untuk terus menyokong pembangunan kereta tenaga baharu dan penggunaan kereta pintar.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semasa upacara penutup Persidangan Kenderaan Tenaga Baharu Dunia (WNEVC) 2022 pada Ahad, kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan China akan mengeluarkan dasar subsidi untuk operasi kereta tenaga baharu dalam sektor awam.

 

Difahamkan, ia merupakan susulan daripada langkah yang akan diambil iaitu pelaksanaan Rancangan Pengangkutan Hijau Lima Tahun Ke-14, menyelidik dan merangka pelan tindakan untuk pembangunan pengangkutan hijau serta rendah karbon, selain meneroka aplikasi mekanisme pasaran pelepasan karbon. 

 

Ketua Pengarah Keselamatan Kementerian Pengangkutan, Li Guoping berkata, China akan berusaha untuk mendorong penggunaan kereta tenaga baharu sehingga peratusan bagi bidang pengangkutan awam bandar, teksi dan industri logistik akan masing-masing mencapai 72%, 35% dan 20% menjelang akhir 2025.

 

“Kementerian Pengangkutan China akan mendorong penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu untuk pengangkutan hijau dan pengangkutan pintar, supaya menyediakan jaminan saintifik serta teknologi kepada industri itu.

 

“Pada masa sama, China akan mempercepat penggubalan piawaian teknikal dalam sektor kereta pintar dan pemanduan automatik untuk menjamin pembangunan industri yang teratur,” ujar Li.