Bantuan Kemanusiaan China Tiba di Pakistan

2022-08-31 13:34:32  CRI
Share with:

Sebuah pesawat pengangkut Y-20 tentera udara China dengan muatan barangan bantuan kecemasan yang dihulurkan kerajaan China kepada mangsa banjir Pakistan tiba di Karachi, Pakistan pada Selasa.

Pada majlis penyerahan barangan bantuan kecemasan yang diadakan di lapangan terbang, Duta Besar China ke Pakistan, Nong Rong menyifatkan China dan Pakistan sebagai sahabat sejati dan saudara yang bersemangat “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dalam mengharungi kesusahan bersama.

“Setelah ketibaan barangan bantuan tersebut, China akan terus menyediakan bantuan kepada Pakistan dalam pembangunan semula pasca bencana,” kata beliau.

Menteri Tenaga Pakistan Khurram Dastgir Khan pula menyatakan, China merupakan negara pertama yang menghulurkan bantuan setelah Pakistan dilanda banjir, yang turut memperlihatkan persahabatan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.

Pada hari yang sama, Jabatan Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan mengumumkan bahawa pelbagai bencana yang diakibatkan hujan lebat sejak pertengahan bulan Jun telah meragut 1,136 nyawa di negara itu, manakala jumlah mangsa melebihi 33.04 juta orang.