China Sasar Keterbukaan Bertaraf Tinggi Perdagangan Perkhidmatan

2022-09-06 13:48:23  CRI
Share with:

China komited ke arah keterbukaan perdagangan perkhidmatan rentas sempadan pada tahap tinggi menerusi tindakan seperti memantapkan pelaksanaan senarai negatif serta terlibat secara aktif dalam penyemakan peraturan dan piawaian antarabangsa berkenaan.

Demikian ujar pegawai Kementerian Perdagangan China, Wang Zhihua sempena berakhirnya Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2022 di Beijing pada Isnin.

Sarat dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik termasuklah simposium bertema dan sesi promosi, acara tahunan berprestij itu menyaksikan 1,339 tawaran dicapai membabitkan transaksi komersial, perjanjian pelaburan dan lain-lain.

Wang menyatakan, pameran berkenaan dilihat menjadi barometer yang menunjukkan trend terkini perdagangan perkhidmatan China.

Menurut beliau, sebanyak 507 buah syarikat pempamer antaranya termasuk syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dan syarikat peneraju berkenaan mengendalikan gerai pameran fizikal sempena CIFTIS.

"Lebih seratus produk baharu seperti teknologi Kecerdasan Buatan (AI) buat kali pertama debut di pameran kali ini. Ia telah menarik kedatangan 250,000 pengunjung,” kata Wang.

Beliau turut berkata, China akan mengkaji dan menyemak piawaian perdagangan perkhidmatan serta menggerakkan penguatkuasaan Kertas Rujukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai Peraturan Domestik Perkhidmatan.

"Selain terus meningkatkan tahap keterbukaan perdagangan perkhidmatan secara keinstitusian, kami (China) akan mengukuhkan kerjasama dengan rakan dagang utama.

"Sokongan kami terhadap sektor perkhidmatan di negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) akan diteruskan, manakala mekanisme kerjasama dua hala dan pelbagai hala seperti BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) pula akan ditambah baik,” jelas Wang.